Ibadah Qurban 1429H

Majlis ibadah Qurban 1429 Hijrah telah dilakukan selepas selesai solat Aidil Adha pada 8hb. Disember 2008 bersamaan 10 Zulhijjah 1429 Hijrah. Sebanyak 3 ekor lembu telah dikorbankan berhadapan Blok 36 Seri Tioman 1.

Selepas selesai jamuan pagi, semua petugas dan peserta telah bersedia dalam kumpulan masing-masing untuk memulakan tugas mereka. Tugas penyembelihan telah dilakukan oleh Sdr. Yusoff Khan Guldad Khan dengan dibantu oleh ahli kumpulan masing-masing. Memandangkan para petugas yang ramai, kerja-kerja menyempurnakan ibadah qurban tersebut telah dapat diselesaikan sebelum solat zohor.

Selepas solat zohor di Surau Darussalam, para jemaah telah dijamu dengan makan tengahari nasi beriani. Kerja-kerja agihan daging qurban telah di buat oleh Pengerusi Surau Darussalam, Encik Ismail Zamri bermula jam 2.00 petang dan berakhir sejam kemudian. Mudah-mudahan segala ibadah qurban yang dilakukan akan diterima oleh Allah SWT. AMIN.




Majlis Berkhatan Beramai Ramai Anak-Anak Kariah Taman Melati.

Tarikh: 4 Disember 2008
Masa : Mulai Jam 7.30 pagi
Tempat : Masjid Sallahuddin al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur.

Seramai 42 orang kanak-kanak (9 orang kanak-kanak dari Seri Tioman 1) telah menyertai Majlis Berkhatan Beramai-Ramai yang julung kali di anjurkan oleh Masjid Salahuddin Al-Ayyubi dengan kerjasama Hospital Angkatan Tentera Malaysia, Bomba & DBKL.




Kursus Bilal dan Muazzin

Tarikh: 23 Ogos 2008
Masa : 8.00 pagi - 6.00 petang
Tempat: Surau Darussalam, Seri Tioman 1, Taman Melati.

Seramai 50 orang peserta telah menyertai Kursus Bilal & Muazzin yang dianjurkan oleh Surau Darussalam. Peserta terdiri daripada Bilal-Bilal dan jemaah Surau-Surau atau Madrasah dalam kariah Taman Melati. Majlis perasmian pada sebelah pagi telah disempurnakan oleh Tuan Hj Hamzah Abd Hamid, yang mewakili Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL.

Kertas Kerja bertajuk "BILAL - TAKRIF, PERANAN & TANGGUNGJAWAB" telah dibentangkan oleh YBhg. Ustaz Hj Wan Haslan Hj Khairuddin daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pada sebelah petangnya, para peserta telah menjalani latihan amali/LDK dengan bimbingan 5 orang Fasilitator yang berpengalaman. Setiap peserta diberi peluang melaungkan azan masing-masing.

Majlis penutupan kursus telah dilakukan oleh Pengerusi Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, YBhg. Dato' Hj Abd Rahim Abd Hamid. Sijil Penyertaan kepada peserta kursus telah di anugerahkan oleh pihak JAWI.